Friday, August 7, 2009

Kesinambungan Samun...

Bace paper metro hari ni tak?front page tajuk Tangan Terkulai...teringat previous post wani pasal samun? kes dalam paper tu terjadi jugak kat taman perumahan Wani..cuma lain Fasa jer...Takutnyer sekaang ni..macam leh jadi kan..orang dah tak fikir dah..pasal duit macam2 orang boleh buat..minta simpang la dari segala kejadian buruk...mintak Allah jauhkan keluarga Wani dan seluruh rakyat Malaysia dari kejadian yang tak diingini...amin...

Bace artikle kat bawah ni...


GOMBAK: Kejam dan tidak berhati perut apabila dua peragut menetak pergelangan tangan seorang wanita sehingga hampir putus hanya kerana mahu merampas beg tangan.

Tindakan penjenayah terbabit dianggap keterlaluan berikutan suspek langsung tidak memberi peluang wanita berkenaan mempertahankan diri apabila terus menyerang mangsa dengan parang lalu menetaknya sehingga bermandi darah.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chin, 40, berkata dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, dia baru pulang dari kerja sebelum memberhentikan kereta di hadapan rumahnya di Jalan SG 8/8, Taman Sri Gombak di sini.(<-- dekat dgn rumah Wani tu)

Menurutnya, sebaik keluar dari kereta, dia menghulurkan tangan kanan untuk mengambil beg komputer riba dalam kereta (alamak Wani selalu bawak beg lap top)..tanpa mengesyaki kejadian buruk bakal menimpanya.

“Tiba-tiba dua lelaki yang menaiki motosikal berhenti tidak jauh dari tempat saya berdiri sebelum seorang daripada mereka menarik beg dalam genggaman saya.

“Belum sempat saya menjerit, dia mengeluarkan senjata tajam yang disorok di sebalik baju lalu menetak pergelangan tangan saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang, semalam.

Menurut Chin, dia yang kesakitan hanya mampu menjerit sebelum ditolak jatuh peragut terbabit sebelum kedua-dua mereka bergegas melarikan diri.

“Suami yang terdengar jeritan saya meluru keluar dan cuba mengejar penjenayah terbabit yang dipercayai warga tempatan sambil dibantu beberapa jiran.

“Malangnya, penjenayah sempat melarikan diri, namun suami menemui telefon bimbit saya di atas jalan dipercayai tercicir ketika penjenayah memecut melarikan diri,” katanya.

Mangsa berkata, kesan tetakan itu menyebabkan pergelangan tangan hingga ibu jarinya terbelah sepanjang lebih tiga inci.

“Beberapa jiran yang melihat kejadian itu kemudian membantu membalut luka pada tangan sebelum segera membawa saya ke Hospital Selayang,” katanya.

Menurutnya, dia yang menjalani pembedahan selama dua jam kemudian dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Damansara untuk rawatan susulan.

Chin yang bekerja sebagai jurujual mendakwa beg yang dilarikan penjenayah berisi komputer riba bernilai RM2,000 selain wang gajinya lebih RM1,000 serta beberapa dokumen penting.

Ibu kepada dua cahaya mata berusia tujuh dan 12 tahun itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Gombak, petang semalam.

Sementara itu seorang jiran yang juga saksi kejadian, Meor Arif Ahmad, 47, berkata kejadian ragut dan serangan bersenjata itu dianggap menakutkan berikutan mangsa berlumuran darah akibat kecederaan parah.

Menurutnya, dia yang mendengar jeritan itu cuba mengejar suspek bersama anak lelakinya tetapi gagal.

“Kejadian ngeri seumpama ini kerap berlaku di kawasan perumahan ini, malah pernah seorang jiran ditetak di kepala oleh penjenayah yang melarikan keretanya.

“Malah, dua anak perempuan saya pernah dikejar peragut bersenjatakan parang ketika pulang ke rumah sekitar jam 4 petang, hujung minggu lalu. Saya meminta polis melakukan sesuatu berikutan kami benar-benar dalam kebimbangan,” katanya.

So pada pihak berkuasa..sila amik tindakan yang sewajarnya..keselamatan rakyat makin terancam dgn semua ni...


No comments: